Monday, 14 February 2011

Mengapa Anda Menyambut Hari Kekasih?


Kenyataan Media

Bismillahirrahmanirrahim…

Tarikh 14 Februari merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh ramai pemudi-pemudi serata dunia, termasuklah mereka di negara kita. Ada antara mereka yang menghabiskan wang dan masa semata-mata untuk membeli hadiah-hadiah mahal atau temu janji lumayan bersama kekasih mereka.

Sebenarnya ramai di kalangan pemuda-pemudi keliru atau tidak tahu asal-usul di sebalik Valentine’s Day.

Sejarah Valetine’s Day

Valentine’s Day atau nama lainnya, Festival of Love (Hari Kekasih) mempunyai terlalu banyak versi sejarahnya, tiada satu pun yang mempunyai bukti yang sahih. Secara ringkasnya, gelaran “Valentine” merupakan darjat penghormatan yang diberikan kepada paderi Kristian yang ‘syahid’ semasa era Kristian mula-mula diperkenalkan kepada bangsa Roman. Manakala tarikh 14 Februari pula dipilih sebagai tarikh untuk memperingati mereka.

Sumber sejarah penting berkaitan Valentine’s Day merupakan buku “Legenda Aurea,” yang merupakan kompilasi cerita-cerita kisah hidup paderi atau saint yang ditulis sekitar tahun 1260. Apa yang menariknya adalah, tiada sebarang dokumetasi yang mengaitkan para Valentines dengan kisah-kisah yang berbaur romantis! Tetapi hakikatnya, cerita-cerita dalam “Legenda Aurea” juga boleh dipertikai kebenarannya, malah penuh dengan cerita-cerita mitos yang tidak masuk akal.

Signikasi perayaan Valentine’s Day terus menjadi tanda tanya sehingga pada tahun 1969, tarikh 14 Februari dipadamkan dari tarikh-tarikh senarai perayaan “Roman Calender of Saints” oleh Pope Paul VI. Namun begitu, ramai masih mengamalkan sambutan Valentine’s Day selepas peristiwa itu. Lama-kelamaan, perayaan Valentine’s Day menjadi hari perayaan di mana pasangan kekasih melahirkan perasaan cinta masing-masing melalui pemberian hadiah dan kad ucapan. Amalan ini terus menjadi popular hingga ke hari ini.

Pandangan Islam terhadap Valentine’s Day

Pada tahun 2005, Majlis Fatwa Kebangsaan (Malaysia) telah mengemukakan fatwa bahawa sambutan Hari Kekasih bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Hakikatnya, Islam adalah agama yang penuh dengan kasih sayang. Dengan rahmat Allah manusia diciptakan, dengan rahmat Allah kita hidup dengan pelbagai nikmat dunia, dengan rahmat Allah kita mendapat Islam dan iman, serta dengan kasih sayang Allah kita bersaudara!

Firman Allah swt:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah keapada Allah agar kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujurat, 49: 10)

Islam sebagai agama fitrah, meraikan sifat-sifat manusiawi yang ada pada setiap orang. Islam membenarkan kita berkasih sayang dan menyambut upacara-upacara yang merapatkan ukhuwwah, tetapi perlu mengikut cara dan keadaan yang diberkati Allah swt, tidak boleh kita terikut-ikut budaya songsang Barat.

Hadis Nabi saw: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.” (Riwayat Abu Daud)

Mengapa anda menyambut Valentine’s Day?

Jadi sekarang, saya ingin bertanya kepada para pemuda-pemudi Islam, mengapa anda ingin menyambut Valetine’s Day? Barangkali, seperti ditulis di awal artikel ini, mungkin ramai antara kita yang keliru dan tidak tahu asal usul Hari Kekasih. Kemungkinan kita menjadi mangsa keadaan di mana majority media massa bertubi-tubi menanamkan amalan songsang Barat? Statistik semasa membuktikan bahaw seks bebas, buang bayi dan pelbagai lagi masalah social makin meruncing. Apabila umat Islam jauh dari ajarannya dan terpedaya dengan gaya hidup hedonisma Barat, keruntuhan akhlak masa depan sesebuah negara itu pasti!

Sama-sama kita perbaiki diri dan serulah orang lain!

IKRAM UKE yakin bahawa para pelajar muslim Malaysia di bumi United Kingdom dan Ireland merupakan golongan yang cerdik pandai, yang terbaik dari ribuan pemuda-pemudi Islam di tanahair. Kita adalah harapan dan masa depan negara, maka janganlah sia-siakan masa kita dengan perkara yang tidak bermanfaat malah bertentangan dengan ajaran Islam seperti menyambut Valentine’s Day ini.

Salam kasih sayang,

Maktab Prasiswazah,
IKRAM (UK/Ireland)

No comments:

Post a Comment