Monday 1 August 2011

Perutusan Wanita IKRAM UKE ... Ramadhan 1432H

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji-pujian kita panjatkan kpd Allah swt kerana telah mengizinkan kita untuk sekali lagi bersama-sama di bulan Ramadhan yang mulia serta penuh dengan keberkatan ini, Alhamdulillah. Dalam kesempatan hayat yang diberikan oleh Allah swt untuk berada dalam bulan Ramadhan ini, Wanita IKRAM UKE ingin mengajak semua umat Islam, khususnya mereka yang berada di UK dan Eire ini untuk kita memanafaatkan bulan ini untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t kerana itu lah objektif yang telah digariskan sendiri oleh Allah s.w.t. seperti dalam firman Allah swt, dlm surah al-Baqarah, ayat 183:

"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu sekalian berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum daripada kamu agar kamu sekalian bertaqwa”

Bulan puasa juga adalah bulan yang didalamnya diturunkan al-Quran yang menjadi hudan linnas wa baiyyinatimmin alhuda wa alfurqan seperti tersebut dalam Surah al-Baqarah, ayat 185:

"Bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang haq dengan yang bathil), karena itu barangsiapa diantara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah.”

Maka marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Ramadhan ini dengan tilawatul quran dan memahami seterusnya mengimplementasikan ajaran-ajarannya ke dalam kehidupan seharian kita insha Allah. Seharusnya bulan ini mengajar kita untuk berakhlak dengan akhlak al-Quran. hasil daripada tunjuk ajar al-Quran jua.

Sesungguhnya al-Quran adalah sebagai panduan buat kita akan bagaimana untuk menjaga hubungan kita sesama manusia dan hubungan kita dengan Allah s.w.t. Maka jagalah akhlak kita sesama insan dengan menjauhkan diri daripada pergaduhan mahupun perkataan-perkataan keji seperti sabda Rasulullah s.a.w.

“ Puasa itu adalah ‘perisai’, sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.”” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebaliknya hendaklah kita berusaha mempertingkatkan tali persaudaraan dan ukhuwwah kita sesama insan dan manusia sejagat dengan contohnya memperbanyakkan sadaqah dan memberi makan untuk berbuka puasa. Bulan ini lah untuk kita tingkatkan sadaqah kita untuk membantu insan yang memerlukan dengan meringankan kesusahan seperti yang sedang dihadapi oleh saudara-saudara seaqidah kita di Somalia, Afrika.

Seperti Sabda Rasulullah s.a.w.
“Sebaik-baiknya sedekah yaitu sedekah di bulan Ramadhan” (HR Al-Baihaqi, Alkhatib dan At-Tirmidzi)

Sememangnya bulan ini adalah masa terbaik untuk kita memperbaiki hubungan kita sesama manusia seperti yang tersebut diatas serta hubungan kita dengan Allah s.w.t dengan meningkatkan kuantiti dan terutamanya kualiti amal soleh kita. Walaupun ini bukan suatu perkara yang mudah, namun inilah yang ditunjuk ajarkan oleh Allah swt melalui penurunan al-Quran kepada kita iaitu sebagai hudan linnas wa baiyyinatimmin alhuda wa alfurqan. Sementara bulan Ramadhan ini lah menjadi bulan latihan untuk penghayatan isi Al-Quran dengan sebenar-benarnya.

Sesungguhnya bulan puasa tahun ini di bumi UK dan Eire adalah lebih mencabar kerana panjangnya masa untuk kita berpuasa. Namun pohonlah kepada Allah s.w.t. akan bantuan daripadanya untuk kita laluinya dengan mudah dan dimanafaatkan dengan sebaiknya biizniLlah.

Daripada ar-Rasul s.a.w. beliau bersabda “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka, imam (pemerintah) yang adil dan doa orang yang dizalimi.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang sudah mula berpuasa, Alhamdulillah juga bahawa bulan puasa kali ini jatuh sewaktu anak-anak sudah mula bercuti dan ini sedikit sebanyak membantu mempermudahkan untuk mereka berpuasa, walaupun jangka masa berpuasa adalah lebih panjang. Disamping mendidik diri kita akan mengecapi natiqah berpuasa iaitu ketaqwaan, marilah kita juga sama-sama mendidik anak-anak kita untuk mengenal erti sebenar berpuasa yang bukannya sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga.

Semoga Ramadhan kali adalah lebih baik daripada yang sebelumnya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan tawfiq dan hidayahnya untuk kita berjaya meraih natijah yang baik daripada bulan yang mulia ini. Semoga dengan berakhirnya bulan Ramadhan ini nanti, kita akan menjadi seorang hamba yang berjaya di dunia dan akhirat. Ameen ya Rabbal ‘alamin.

Eleena Masnee Abdul Samad
Ketua Wanita IKRAM UKEire
1 Ramadhan 1432H.

No comments:

Post a Comment