Saturday, 8 January 2011

Pendakwah Yang Dicintai Ummat


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Dalam salah satu nasihatnya, Imam Hasan Al Banna mengatakan :

“Kamu adalah ruh baru yang mengalir di tubuh ummat yang menghidupkan tubuh yang mati dengan ruh Al-Qur’an.”

Dari ungkapan ini sangat jelas bahwa seorang pendakwah mestilah sentiasa berada di tengah-tengah ummat yang mampu menyejukkan dengan ruh penyejuk Al Qur`an.

Dia mesti menjadi ‘anasir taghyir’ (unsur perubah) bahkan :

1. Menjadi sumbu bergeraknya masyarakat.
2. Dicintai oleh masyarakat.
3. Diperlukan oleh masyarakat.

Walaupun kita menyedari bahwa menjadi pendakwah yang dicintai dan diterima bukan suatu perkara yang mudah.

Dalam salah satu kenyataannya, seorang ulama’ menyatakan bahwa salah satu ciri mutlak seorang muslim adalah ia berguna dan bermanfaat di manapun ia berada.

Ciri seorang Muslim adalah berguna bagi yang lain dan inilah satu noktah penting yang menuntut kita agar terus bermanfaat untuk orang lain. Di atas asas kemanfaatan inilah yang akan mempercepatkan tumbuhnya cinta.

Untuk mampu menjadi pendakwah yang dicintai ummat :

1. Niat menjadi suatu keutamaan yang sangat penting.
2. Setelah itu barulah kita perlu mengenal medan.
3. Kemudian memahami metodologi dakwah yang menjadi asas yang perlu kita miliki sebelum kita melakukan sesuatu untuk mereka.
4. Akhir sekali bersabar menghadapi semua keadaan yang tidak selalunya menyenangkan.

LANGKAH PERTAMA :

Perkara yang perlu dan utama ditanamkan dalam hati adalah niat ikhlas kerana Allah dan kemenangan itu milik Allah swt.

Oleh kerana itu, seorang aktivis dakwah perlu menjadi sebuah peribadi yang dicintai oleh ummat. Kecintaan itu mesti muncul secara alami dengan proses yang berkesinambungan.

Kebaikan yang dilakukan pun tidak boleh mengharapkan apa-apa balasan serta mempunyai batasan-batasan tertentu. Tidak ada dalam kamus dakwah kita bahwa dakwah telah selesai dan kebaikan kita pun selesai.

Langkah pertama yang dijalani oleh aktivis dakwah ini sangat menentukan dalam menghantarkannya kepada Allah.

Jika benar langkah pertamanya, maka ia akan naik setingkat lagi tanpa mengalami ‘futur’ (kelesuan) dan kemunduran, sehingga ia tidak akan menyimpang dari sunnah yang telah ditetapkan oleh Nabi saw dan begitu pula sebaliknya.

Selain itu, langkah pertama juga mesti dibangunkan di atas landasan ketulusan. Jika langkah pertama ini terhalang dari ketulusan niatnya, maka bangunan yang dihasilkannya menjadi goyah, sekalipun tinggi.

LANGKAH KEDUA :

Mengenali medan menjadi langkah kedua kita setelah niat yang sempurna. Ianya menjadi penting kerana setiap sasaran memiliki karakteristik yang berbeza. Oleh sebab itu, mengenali ciri-ciri, bahasa dan tatacara yang tertentu yang dimiliki oleh masyarakat menjadi suatu kepentingan.

LANGKAH KETIGA :

Metodologi atau tatacara berdakwah menjadi langkah ketiga setelah kita mengenali medan dakwah kita di mana ianya hendaklah disesuaikan dengan siapa sasaran dakwah kita.

Keupayaan yang dimiliki oleh objek dakwah menjadi kayu ukur bagaimanakah kita melakukan dakwah kita sesuai dengan sasaran yang ada.

LANGKAH KEEMPAT :

Setelah semua langkah-langkah di atas telah dilaksanakan, maka seseorang pendakwah itu hendaklah bersabar menerima tindakbalas hasil dari dakwah yang diserukan itu.

Kita tentu masih ingat kisah Nabi Yunus as yang ditarbiyah oleh Allah swt atas usaha dakwah yang dijalani beliau. Ketika itu pertimbangan Nabi Yunus as untuk meninggalkan kaumnya boleh dibenarkan oleh akal sihat. Namun di sebalik itu, Allah swt menginginkan agar kebaikan berupa dakwah itu diberikan tanpa batas walaupun meletihkan dan bahkan mungkin menyakitkan hati.

Kemudian jika kita menilik kisah Rasulullah saw ketika berada di Taif dengan segala kesulitan dan kesedihan, beliau bersama Zaid ra menghalang lemparan batu dan cacian masyarakat Taif.

Kemudian ada tawaran dari Malaikat penjaga bukit untuk menghimpitkan bukit Abu Qubais dan bukit Ahmar kepada mereka. Namun tawaran malaikat ditolak oleh Rasulullah saw, bahkan beliau berdoa :

“Ya Allah berilah hidayah kepada kaumku ini, kerana mereka masih juga belum faham tentang erti Islam”.


Dengan doa ini, anak keturunan masyarakat Taif menjadi generasi rabbani pendukung dakwah Nabi di kemudian hari.

Kehebatan Namrud bagi Nabi Ibrahim as tidak ada ertinya kepada Nabi Ibrahim as kerana Nabi Ibrahim as tidaklah bersendirian. Allah bersamanya malah alam semesta sentiasa bersamanya.

Api yang berkobar-kobar yang dinyalakan oleh Namrud untuk membinasakan Nabi Ibrahim as ternyata satu barisan dengan Nabi Ibrahim as dalam menunaikan tugas pengabdian kepada Allah swt.

Bertentangan dengan ciri-cirinya yang berupaya untuk menghanguskan Nabi Ibrahim as, justeru ia malah menjadi “bardan wa salaman” (penyejuk dan penyelamat).

Oleh kerana itu, pendakwah sebenar yakin bahwa Allah swt akan sentiasa membuka jalan bagi pejuang dakwah sesuai dengan janjiNya :

“Jika kamu menolong Allah, Ia pasti akan menolongmu dan mengukuhkan langkah kamu”.

NIAT DAN AZAM YANG KUAT

Dalam salah satu bukunya ‘Jalan Menuju Hati’, Abbas As-Siisy mengatakan bahwa permasalahan yang menghalang seseorang penyeru di jalan Allah swt adalah permasalahan yang muncul dari dalam dirinya sebagaimana dalam pepatah bahasa Arab dikatakan :

“Orang yang tidak memiliki sesuatu, tidak mungkin boleh memberikan apa-apa.”

Seseorang yang tidak memiliki kunci, maka sukar baginya untuk masuk. Manusia yang hatinya terkunci sehingga sukar untuk dimasuki oleh dakwah bagaikan peti besi besar yang sebenarnya dapat dibuka hanya dengan menggunakan kunci yang kecil.

Demikianlah persoalannya di mana sesungguhnya ia terpulang kepada diri pendakwah itu sendiri iaitu yang menyangkut potensi dirinya secara ruhiah di samping kecekapannya untuk membuat sesuatu program serta ketahanan dalam mewujudkannya.

Jika kita tahu bahwa syaitan menyusun program untuk para pengikutnya dengan langkah-langkah yang bertahap, maka sudah selayaknya seorang penyeru di jalan Allah menyusun program dan langkah-langkah untuk merebut hati sasaran dakwahnya.

Sungguh sangat berbeza antara tujuan syaitan dengan tujuan orang-orang yang beriman. Oleh yang demikian, tidak sepatutnya bagi orang yang beriman untuk merasa lemah jiwa dan mentalnya ketika terlibat dalam pertarungan merebut hati dan fikiran umat manusia.

“Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (QS An-Nisaa’ : 104)

Berdasarkan ayat di atas, adalah jelas bahwa kedua-dua belah pihak sama-sama menghadapi rintangan dalam seruannya masing-masing.

Para penyeru di jalan Allah swt menderita kesakitan sedangkan pasukan syaitan yang berdakyah di jalan thaghut juga menderita kesakitan.

Namun, satu perkara yang pasti ialah bahwa tujuan aktivitinya berbeza.

Para pendakwah sentiasa mengharap dari Allah swt sesuatu yang tidak diharapkan oleh para penyeru di jalan thaghut.

Orang yang beriman jelas mengharapkan ridha dan rahmat Allah swt sedangkan pasukan musuh hanya mengharapkan sesuatu yang dibatasi oleh dunia yang fana ini.

KASIH SAYANG, LEMAH LEMBUT DAN SABAR SEBAGAI BUKTI CINTA DAN KEIKHLASAN

Mungkinkah seorang pendakwah mengajak orang lain kepada rahmat Allah swt tanpa memberikan kasih sayang kepada sasaran dakwahnya?

Jika tatapan mata yang dipenuhi dengan rasa irihati dan dengki dapat memberikan mudharat, maka sudah tentu tatapan mata yang dipenuhi rasa iman dan kasih sayang akan menimbulkan cinta dan keimanan.

Cinta dan kasih sayang adalah ”bahasa” antarabangsa yang digunakan oleh penyeru di jalan Allah swt dalam menghadapi seluruh penduduk bumi sehingga kepada orang bisu sekalipun.

”Bahasa” ini ibarat mata wang yang ditetapkan untuk dipakai oleh setiap negara secara sejagat.

Dengan ”bahasa” inilah generasi pertama umat ini menakluk dunia. Mereka adalah pelita kehidupan sehingga Rasulullah saw bersabda memberi komentar terhadap seorang sahabat mulia sebagai berikut :

“Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang disukai Allah ta’aala: lemah-lembut dan sabar.” (HR Muslim)

Lembah lembut dan sabar adalah pembentuk akhlak Islam.

Mengapa generasi awal ummat ini, iaitu para sahabat radhiyallahu ’anhum begitu mulia akhlaknya?

Ini adalah kerana mereka menyaksikan dan meneladani pemimpin mereka yang akhlaknya sungguh mulia, yakni Nabi Muhammad saw.

Demikianlah Allah swt abadikan panorama penuh pesona Rasulullah saw dalam ayat berikut :

”Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (QS Ali Imran : 159)

Kemuliaan akhlak Rasulullah saw, para sahabat radhiyallahu ’anhum dan salafush-soleh terdahulu bukanlah sebuah penampilan biasa untuk meraih keuntungan duniawi ketika berinteraksi dengan manusia.

Mereka mengembangkan akhlak mulia kerana memang perintah Allah swt. Di samping itu mereka sangat meyakini bahwa akhlak mulia merupakan salah satu senjata ampuh untuk menembusi hati manusia yang sebelumnya kafir agar terbuka hatinya menerima Iman dan Islam.

Inilah peranan utama akhlak dalam kegiatan dakwah menyeru manusia ke jalan Allah swt Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Dalam perjalanan dakwah ini, kita dapat melihat bahwa kunci kejayaan bagi menyebarkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat adalah kemampuan seseorang aktivis itu diterima dan dicintai oleh masyarakat.

Kunci seseorang aktivis dicintai oleh masyarakat adalah pesona akhlaknya sebagai Ruh Al Qur’an yang menyebarkan nilai-nilai Islam sehingga terlaksana dan memberi bekas kepada masyarakat.

Dengan cinta dan akhlak, nilai-nilai Islam tumbuh dan berkembang subur .

Inilah Ruh Islam iaitu :

a. Aqidah yang benar.
b. Cinta.
c. Kasih Sayang.
d. Akhlak.

yang bersesuaian dengan misi dakwah kita seperti yang pernah diingatkan oleh Imam Hasan Al Banna :

“Dakwah ini tidak mengenal sikap lemah. Ia hanya mengenal satu sikap iaitu penyerahan sepenuhnya. Siapa yang bersedia untuk itu, maka ia mesti hidup bersama dakwah dan dakwah pun melebur dalam dirinya. Sebaliknya, barangsiapa yang lemah dalam memikul bebanan ini, ia terhalang dari pahala besar mujahid dan tertinggal bersama orang-orang yang duduk. Lalu Allah swt akan menggantikan mereka dengan generasi lain yang lebih baik dan lebih sanggup memikul beban dakwah ini.”

Ya Allah, jadikanlah kami penyeru-penyeru di jalanMu yang hanya mengharapkan balasan baik dariMu. Perkuatkanlah diri kami dengan Ruh Islam yang dihias dengan aqidah yang mantap beserta akhlak yang mulia bersulamkan cinta dan kasih sayang yang mampu menghidupkan tubuh ummat ini dari kelalaian dan buaian dunia.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad

No comments:

Post a Comment