Boleh tak Ummu Muhammad ceritakan pada kami tentang kehidupan Syeikh Sa’id Hawa secara terperinci?
Jawapan :
Syeikh RahimahuLLAH amat sibuk dengan urusan dakwah sejak sebelum berkahwin lagi. Oleh itu, selepas berkahwin beliau berusaha meluangkan masanya untuk bersama anak-anaknya dan berbincang dalam pelbagai isu serta mendidik mereka dalam urusan agama dan kemasyarakatan. Anak-anaknya masih kecil belaka ketika beliau dipenjarakan selama 5 tahun pada 1973 hingga 1978. Lalu saya memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan ketika itu dikurniakan dengan 4 orang anak , 3 lelaki dan seorang perempuan,Muhammad, Ahmad, Mu’az dan Fathimah; alHamdulILLAH. Sesungguhnya Allah mengurniakan bantuan kepada saya sehingga mampu memberikan didikan agama buat anak-anak. Justeru, apabila beliau keluar dari penjara maka beliau mendapati anak-anaknya telah membesar di bawah tarbiyah yang baik.
Setiap pagi, beliau akan meluangkan masa bersama anak-anak dan kadang kala sekitar pukul 9 ke 10 malam. Manakala waktu selebihnya adalah untuk urusan dakwah, menulis dan mengarang. Saya akan membantunya dalam beberapa aspek : Jika dia mengarang maka saya akan menaipkan untuknya dan alHamdulILLAH kami mampu menghasilkan beberapa kitab. Beliau juga tidak pernah mengabaikan aspek tarbiyah anak-anaknya bahkan memperuntukkan satu hari setiap minggu untuk berkelah dan sepanjang perkelahan tersebut beliau akan mengadakan perbincangan dan sebagainya dengan anak-anak.Kebiasaan nya kami berkelah pada hari Khamis manakala hari Jumaat kami akan berada di rumah.Hakikatnya sesiapa yang mengatur waktunya , pasti dia akan mendapat faedah yang banyak dari aturan tersebut.
Soalan :
Bagaimanakah corak kehidupan kamu sekeluarga di Jordan ?
Jawapan :
Pada tahun 1978 kami berhijrah ke Jordan. Kehidupan kami di sini dipenuhi dengan kerja-kerja dakwah hinggakan anak-anak beliau di samping menuntut ilmu turut membantu beliau terutamanya dalam melayan tetamu beliau yang ramai dan dari pelbagai tempat. Muhammad dan Ahmad telah berumahtangga dalam usia yang masih muda. Muhammad ( Abu Sa’id ) berkahwin ketika berusia 19 tahun dan begitu juga dengan adiknya, Ahmad ( Abu Ja’afar ). Isteri kedua-duanya selepas diajar cara menggunakan mesin taip, turut membantu menaip tulisan-tulisan Syeikh RahimahuLLAH dan hasilnya buku-bukunya disiapkan segera.
Antara kitab-kitab karangan beliau : JunduLLAH-Thaqofata n wa Akhlaqon, Silsilah al-Usul Thalathah:Allah Jalla Jalaluhu;ar- Rasul;al- Islam. Ini adalah buku yang ditulis sebelum kami keluar dari Syria ke Sa’udi selama 5 tahun dan di sana kami mengambil peluang dalam bidang ilmu, belajar dan mengajar. Sekembalinya ke Syria, beliau dipenjarakan dan ketika itu suasana di Syria agak tegang. Namun saya tetap menjalankan kerja saya sebagai guru subjek Bahasa Arab malah saya cukup sedar akan tanggungjawab yang terpikul di bahu saya ketika itu.
Seterusnya kitab-kitab beliau : Silsilah al-Asas fil Manhaj – al-Asas fit Tafsir , al-Asas fis Sunnah wa Fiqhiha, al-Asas fil Qawa’id al-Ma’rifah wa Dhowabit al-Fahm wa lin Nusus. Silsilah at-Tarbiyah wat Tazkiyyah was Suluk – Tarbiyatuna Ruhiyyah, al-Mustakhlos fi Tazkiyatul Anfus, Muzakkirat fi Manazilus Siddiqin war Rabbaniyun. Silsilah fil Fiqh ad-Dakwah wal Bina’ wal ‘Amal Islami – JunduLLAH Thaqofatan wa Akhlaqon, Min Ajli Khutwatun ilal Amam ‘ala Thoriqil Jihad al-Mubarak, al-Madkhol ila Dakwah al-Ikhwan al-Muslimin, Jaulat fil Fiqhain al-Kabir wal Akbar wa Usuluhima, Fi Aafaqit Ta’alim, Fusul fil Imrah wal Amir, Rasail Kai La Namdhi Ba’idan ‘an Ihtiyajat al-‘Asr ( menghimpunkan 11 surat ). Kitab Hazihi Tajribati wa Hazihi Syahadati membicarakn tentang kehidupannya secara khusus. AlhamduliLLAH, saya sangat gembira dengan membantunya menulis dan mengarang, manakala anak-anak pula sibuk menaipnya. Kerja yang paling banyak sekali dilakukan mulai selepas solat Subuh iaitu beliau akan membaca al-Qur’an dan seterusnya kitab-kitab lain dan dituruti dengan menulis. Selanjutnya waktu yang berbaki digunakan untuk kerja-kerja dakwah dan menyambut tetamu.
Soalan :
Apakah antara kenangan indah bersama Syeikh RahimahuLLAH ?
Jawapan :
Kehidupan saya bersamanya sangat bahagia kerana dipenuhi dengan amal malah tiada langsung waktu yang tersia. Kami tidak pernah jemu dengan kehidupan kami yang dipenuhi dengan mengarang, menulis, berdakwah, menyambut tetamu dan setiap Khamis kami berkelah. Malah saya tidak pernah menempuh sebarang kesusahan pun sepanjang bersamanya. Untuk makluman, saya lulusan Sarjana Muda Bahasa Arab dari Universiti Damsyiq namun saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk bekerja dengan suami saya malah kami penuhi hari-hari kami dengan gembira tanpa sebarang pertelingkahan. Dia sering keluar berdakwah ke Jerman, Amerika, Pakistan dan Kuwait serta beberapa tempat lain manakala saya pula lebih suka tinggal menjaga anak.
Soalan :
Bagaimanakah beliau mengenali Ummu Muhammad ?
Jawapan :
Awalnya, saya hanya mengetahuinya ketika di tahun akhir di universiti sedangkan dia ketika itu telah 2 tahun meninggalkan universiti. Saya tidak mengenalinya langsung namun mengetahuinya dari sepupu sebelah ibu saya . Sebelum kami berkahwin, berlaku pelbagai penentangan di Syria , kemudian demonstrasi Hammah , masjid-masjid dibakar dan keadaan ini memaksa beliau berlindung di Iraq selama 2 bulan. Beberapa individu tertentu yang baik hati telah membantunya sehingga diampuni dan dibolehkan memasuki Syria kembali. Sekembalinya dari Iraq, kami terus mendirikan rumahtangga dan menetap di kampungnya, Hammah selama 2 tahun. Kemudian kami ke Sa’udi selama 5 tahun dan kembali semula ke Syria dan ketika itulah beliau dipenjarakan. Saya hanya melahirkan keempat-empat anaknya sebelum beliau dipenjarakan namun apabila keluar tidak lagi kerana beliau sakit kencing manis dan tubuh badannya lemah akibat seksaan serta tekanan di penjara.
Lantaran itu , beliau menumpukan tenaganya dan masanya pada jihad, dakwah dan musafir. Beliau sering menawarkan saya menemaninya dalam musafir namun saya lebih selesa untuk bersama anak-anak dan meneruskan tanggungjawab saya mendidik mereka. Beliau sering bersama sahabat dan rakan seperjuangannya. Waktu keluar untuk urusan dakwahnya sering tidak menentu namun saya selalu akan berpesan setiap kali beliau ingin keluar ‘ Allah ma’ak ’ dan apabila tetamu datang ; saya akan ucapkan ‘Ahlan wa Sahlan’ . Jika dikunjungi keluarganya , saya akan meraikan dan melayan mereka dengan sebaiknya. Antara sikap beliau yang amat saya fahami adalah beliau inginkan agar ibu bapanya dilayan dengan baik. Begitu juga dengan tetamunya. Ibunya masih ada lagi dan kami sering menziarahinya. Bapanya telah pulang ke RahmatuLLAH 4 bulan lebih selepas Syeikh RahimahuLLAH meninggal.
Soalan :
Berapakah bilangan adik beradik Syeikh RahimahuLLAH ?
Jawapan :Beliau mempunyai 4 orang adik beradik perempuan dan 6 adik beradik lelaki. Sebahagiannya tinggal di Jordan, ada juga yang tinggal di Sa’udi dan masih ada juga yang tinggal di Syria. Keluarganya tidak dapat duduk setempat disebabkan keadaan dan suasana politik Syria yang menekan dan menindas rakyatnya. 5 tahun beliau dipenjarakan dan semua mulut seolah terkunci. Kami yang mengajar di sekolah-sekolah tidak boleh membincangkan apa pun melainkan pelajaran sahaja. Contoh tekanan yang kami hadapi di Syria, abang saya di Syria merupakan guru Syari’ah, dia telah mengajar selama 2 tahun namun dipaksa berhenti. Satu peruntukan undang-undang ditetapkan dan beliau tidak dibenarkan mengajar dan hanya duduk di rumah tetapi tetap mendapat gaji. Semua ini berlaku kerana pihak yang berkenaan mendapati beliau sering melakukan perbincangan dan diskusi dengan para pelajar. Kadang kala beliau dibenarkan berkhutbah, dengan syarat khutbah tersebut berdasarkan teks yang mereka sediakan sahaja. Beginilah senario di Syria, seseorang khatib yang berilmu dan mempunyai thaqofah yang luas tidak boleh menyampaikan khutbahnya melainkan berpandukan teks yang dibekalkan sahaja.
Soalan :
Bagaimanakah perasaan Ummu Muhammad ketika Syeikh RahimahuLLAH ditangkap dan dipenjarakan ?
Jawapan :
Ketika itu, harapan dan pergantungan saya hanyalah pada Allah, dan saya tidak sekali pun hilang kawalan diri. Harapan saya agar beliau segera keluar dari penjara dan boleh menyambung semula kerja-kerja dakwah beliau. Saya tetap meneruskan pendidikan terhadap anak-anak sebagaimana biasa dan menggunakan pelbagai wasilah pendidikan seperti kaset-kaset al-Qur’an dan kisah-kisah agama. Mereka mula menghafaz al-Qur’an ketika berusia 5 tahun dan kini, tiga daripada mereka telah pun Hafiz al-Qur’an malah mempraktikkan isi kandungannya, alHamdulILLAH. Selepas 2 bulan beliau keluar dari penjara, adiknya Mahmud, seorang pemuda soleh, melihat beliau di dalam mimpi dibunuh dan mati syahid. Dia melihat bahawa Jordan lebih baik dan beliau menunaikan umrah terlebih dahulu sebelum ke Jordan. Setibanya di Jordan, selepas menziarahi sahabat dan kenalannya, beliau ditangkap dan dilarang kembali ke Syria. Maka sejak itu, iaitu tahun 1978 , kami mula menetap di Jordan.
Soalan : Apakah aturan pendidikan untuk anak-anak Ummu Muhammad ?
Jawapan :
Pertamanya, suruh anak-anak mengerjakan dan menyelesaikan urusan agama bermula dari aspek tauhid dan ibadat. Ajari mereka al-Qur’an dan mulakan dengan surah al-Ikhlas sehingga mereka mampu memahami keesaan Allah. Tekankan tentang aspek ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji. Pada masa yang sama aspek akhlak dan pergaulan dididik dengan sebaiknya kerana semua perkara-perkara ini perlu dipupuk sejak anak-anak masih kecil. Tarbiyah dalm aspek ibadah dan agama bila dipupuk sejak kecil, maka bila mereka mencapai usia mukallaf maka mereka tidak akan rasa susah dan tertekan kerana semua perkara tersebut telah menjadi rutin dan resam kehidupan mereka. Pendidikan agama buat anak-anak akan memberi impak pada sudut akhlak mereka, oleh itu wajib bagi ibu bapa mendidik mereka atas dasar perintah dan suruhan Allah. Jika sudut agama pada anak-anak diabaikan ketika mereka masih kecil, maka proses didikan tersebut akan sukar terutamanya apabila mereka mencapai usia 10 tahun atau lebih, dan masalah ini lebih ketara pada anak perempuan. Komitmen anak-anak dalam berpakaian, menutup aurat, solat dan puasa akan menjadi sukar ketika itu malah penentangan sering berlaku disebabkan tiadanya latihan di peringkat awal.
Datuk dan pak cik saya merupakan Wali Allah dan kewalian mereka terzahir di saat kematian mereka. Saya dididik dengan agama semenjak kecil dan sebaik mengahwini Syeikh RahimahuLLAH saya tidak berhadapan dengan sebarang masalah atau berasa pelik. Suasana didikan yang saya terima dan ketika bersamanya adalah sama , samada dari segi pakaian , kerja dakwah, penulisan dan menyambut tetamu; lantaran semuanya atas dasar dakwah dan Islam. Niat kami sentiasa, in sya Allah ; adalah kerana Allah dan untuk Islam serta atas dasar menegakkan Kalimah Allah Ta’ala.
Soalan : Bagaimanakah bentuk kehidupan Ummu Muhammad dan Syeikh RahimahuLLAH sebagai pasangan suami isteri ?
Jawapan :
Kami bersama-sama memanfaatkan masa dan menunaikan haknya dan tidak wujud sebarang pembaziran. Contohnya , jika kamu keletihan jangan kamu berehat terus sebaliknya lakukan sesuatu yang menyenangkan dan tidak meletihkan seperti sambil kamu duduk , kamu menulis sesuatu yang berfaedah. Atau letakkan anak kamu di sisi dan kamu ajari mereka sesuatu. Jika dikunjungi tetamu, segerakan penyediaan hidangan mereka. Ataupun jika kamu dikunjungi tetamu secara mengejut, bersedia menyambut mereka. Kesimpulannya, kamu perlu sentiasa berusaha manfaatkan waktu.
Kami akan membaca al-Qur’an selepas solat Subuh dan kemudian meluangkan masa untuk penulisan selama 2 jam tetapi ini kebiasaannya di waktu cuti. Jika waktu persekolahan, kami hanya akan menulis sekembalinya dari sekolah jika tiada tetamu yang berkunjung. Jika beliau bekerja sendirian, sibuk dengan membaca kitab-kitab lama, saya akan menjalankan kerja-kerja asas rumah dan mengajar anak-anak. Beliau sentiasa meluangkan masa menziarahi kaum kerabatnya pada hari Jumaat. Inilah rutin kami semenjak kami mendirikan rumah tangga.
Pernah sekali saya bermimpinya ketika beliau masih dalam bilik kecil dan sempit di penjara. Dalam mimpi itu seolah-olah saya berdiri di hadapan bilik kurungan tersebut dan pintunya terbuka. Saya melihat cahaya memancar dari bilik tersebut dan timbul ketenangan dari dalam hati saya bahawa al-Qur’an yang dihafaznya menjadi pembantunya. Beliau dikurung di situ selama 9 bulan dan selama tempoh itu beliau tekun mengulangkaji al-Qur’an. Tidak berapa lama selepas itu beliau dikeluarkan ke penjara yang lebih besar yang dihuni oleh orang lain. Selepas 5 tahun beliau dibebaskan dan ramai yang tidak percayakan peristiwa tersebut melainkan setelah melihatnya dengan mata mereka sendiri. Mereka semua meraikan pembebasan Syeikh RahimahuLLAH di rumah keluarganya.
Soalan: Berapakah umur Ummu Muhammad ?
Jawapan :
Suatu perkara yang amat mengejutkan namun mengembirakan saya sebaik mendapat tahu di waktu kami dikahwinkan, bahawa kami mempunyai tarikh lahir yang sama iaitu pada bulan September 1935. Beliau tidak terkejut dengan maklumat tersebut. Beliau meninggal ketika berusia 54 tahun.
Soalan : Apakah pesanan terakhir beliau untuk keluarganya ?
Jawapan :
Beliau sentiasa berpesan agar ikhlas dalam setiap perbuatan. Beliau juga menekankan saya untuk mengutamakan anak-anak dan memantau agar proses pendidikan mereka tidak terbantut. Inilah satu-satunya pesanan beliau dan alHamdulILLAH mereka semua mampu meneruskan pengajian mereka dengan sempurna. Kini ketiga-tiga anak lelakinya menjalankan urusan agama untuk kepentingan Islam dan umatnya , in sya Allah.
Soalan : Bagaimanakah Syeikh RahimahuLLAH mengimbangkan antara ibadah dan kerja-kerja dakwahnya; dan apakah peranan Ummu Muhammad untuk itu ?
Jawapan :
Jika perkara-perkara fardhu, pastinya beliau akan menunaikannya di mana-mana sahaja beliau berada dan begitu juga dengan ibadah zakat, walaupun hartanya sedikit namun beliau akan tetap mengeluarkan zakat sebelum tiba waktunya. Begitu juga dengan sedekah. AlHamdulILLAH anak-anaknya membesar dengan sistem ini. Ibadah haji pula , kami kerjakan sebanyak 5 kali beserta umrah sepanjang 5 tahun kami tinggal di Sa’udi.
Dalam urusan kerja-kerja dakwah, ia perkara rutin dan biasa hinggakan anak-anaknya turut terbiasa dengan kerja-kerjanya. Beliau tidak pernah menghadapi kesukaran menyuruh anaknya melakukan sesuatu malah setiap kali beliau bersama-sama mereka dan berdialog dengan mereka, pasti beliau akan memperolehi respon yang positif dari mereka. Dalam seminggu beliau memperuntukkan sekali atau dua kali waktu selepas Subuh untuk mengajar anak-anaknya dan antara yang diajarnya adalah kitab Jauharah at-Tauhid dan kitab al-Hikam al-‘Atho’iyyah. Jika ada peluang untuk belajar, beliau tidak akan menghalang malah menggalakkan anak-anaknya untuk melazimi syeikh-syeikh. Bahkan beliau juga membimbing dan mencadangkan kepada anak-anaknya beberapa syeikh-syeikh untuk mengajar mereka dalam bidang feqh, dan bidang-bidang lain yang merangkumi aspek mu’amalah dan agama.
Adalah menjadi suatu kewajiban bagi Muslimah untuk menggunakan seluruh waktunya dengan bermanfaat. Setiap kali dia mempunyai masa lapang, dia perlu merancang pengisiannya sejak awal. Apakah yang perlu dilakukannya jika mempunyai masa lapang ? Tentunya dia perlu bekerja, mengulangkaji pelajaran, atau mengajar anak-anaknya atau menziarahi kaum kerabatnya. Setiap kali dia berpeluang untuk memanfaatkan masanya untuk kebaikan Islam, dia perlu melakukannya. Begini juga peranan yang saya mainkan ketika ziarah, yang mana saya pastikan siri ziarah tersebut berfaedah. Ziarah juga boleh menjadi sebahagian dari urusan agama apabila masa ziarah tersebut dipenuhi dengan persoalan dan perbincangan yang berkaitan pelbagai perkara berfaedah. Malah ziarah tersebut boleh diisi dengan bertadabbur dengan surah-surah tertentu. Inilah asas yang perlu dipraktikkan dalam ziarah, dan kita berkewajiban untuk saling mengambil tahu urusan agama kita tanpa mengira umur , jantina dan taraf bujang atau telah berumahtangga.
Soalan : Apakah pandangan Ummu Muhammad tentang pengajian sains dan bidang-bidang ilmu yang lain ?
Jawapan :
Bagi saya, tidak ada sebarang halangan ke atas kita untuk menuntut ilmu-ilmu lain selain ilmu agama termasuklah terhadap wanita sendiri. Akan tetapi wajib baginya paling kurang mampu menguasai beberapa aspek agamanya walaupun ilmu tersebut tersebut terpaksa diperolehi dengan cara membaca dan merujuk atau dengan menghadiri pengajian agama di masjid-masjid atau di rumah-rumah jika ada. Setiap kali berhadapan dengan sesuatu kemusykilan, dia perlu berusaha mencari jawapannya sebaik mungkin. Begitu juga sekiranya dia menguasai satu bidang dari ilmu dunia, dia juga perlu menguasai bidang-bidang yang lain, asalkan tidak bertentangan dengan Islam. Kini kita dapati ramai Muslimah yang menuntut ilmu keduniaan dan mengenepikan ilmu agama lalu mereka kurang pengetahuan tentang agama mereka sendiri hinggakan ada yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika wudhu’ , thoharoh dan solat.
Fenomena seperti ini dapat kita saksikan ketika solat terawih di bulan Ramadhan yang mana ramai Muslimah mengerjakannya tetapi sayangnya mereka tidak menutup aurat dengan sempurna ketika solat. Malah ada juga yang tidak tahu untuk rukuk dan sujud dengan betul. Ada juga yang hanya mengutamakan solat tapi mengabaikan aspek cara bacaan ayat al-Qur’an. Hakikatnya , sejak di peringkat permulaan lagi kamu perlu melatih diri mempelajari al-Qur’an dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Kamu juga perlu memperbaiki bacaan al-Qur’an setiap masa namun bukan secara sendirian sebaliknya dengan menuntut dari guru yang berkepakaran dalam bidang bacaan dan tajwid al-Qur’an. Setiap ilmu yang kamu pelajari sepatutnya tidak menghalang kamu mendalami agama kamu sendiri. Pesananku kepada setiap Muslimah tekankan diri kalian dengan didikan agama , begitu juga ke atas anak-anak kalian, jiran-jiran dan kerabat serta sebarkan kebaikan. Laksanakan juga al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Munkar dengan cara berhikmah kerana jiwa-jiwa manusia tidak boleh dilentur dengan kekerasan. Namun semua ini mestilah selepas kamu menguasai ilmu Tauhid dan kehambaan dengan baik dan faham.
Soalan : Akhirnya, apakah kunci kejayaan dalam mendidik anak-anak ?
Jawapan :
Mulakan mendidik mereka dengan pengajian agama, sebaik-baiknya dimulai dengan al-Qur’an. Jika kamu mampu mendidik mereka di peringkat awal dengan al-Qur’an maka kamu akan mampu meminta dan melakukan apa sahaja dengan mereka dalam proses pendidikan. Selain itu kamu juga perlu menggunakan dan mengaplikasikan segenap wasilah dan alat bantuan mengajar mengikut peringkat umur dan tahap mereka. Akhirnya, sama – sama kita panjatkan doa kepada Allah agar menjadikan kita semua sebagai pendakwah kepadanya di mana sahaja kita berada. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita. Malah kita pohon taufiq-Nya buat kami dan anda semua di setiap bidang dan lapangan kehidupan , agar disampaikan ke perjalanan menuju kebenaran dengan keikhlasan dan keteguhan jiwa. Wassalamu’alaikum wa RahmatuLLAHi wa barakatuhu
Wawancara dijalankan dan ditulis dalam bahasa Arab.
Diterjemahkan secara ringkas oleh Sdr Said Muhammad, Jabatan Usuluddin, Fakulti Syari’ah, Universiti Mu’tah.
Nota kaki: Ummu Muhammad adalah isteri kepada pejuang gerakan Islam yang terkenal, berasal dari Syria iaitu Syeikh Sa’id Hawwa RahimahuLLAH. Terjemahan ini turut dimuatkan di dalam buku Puteriku
No comments:
Post a Comment