Posted on 06 January 2011 by admin
http://msmonline.net/v1/?p=2490
Assalamualaikum warahmatullah…
Inshallah, sempena transformasi MSM kepada IKRAM UKE, ingin dikongsi bersama serba sedikit sejarah perjalanan gerakan islam ini di bumi UK
Majlis Syura Muslimun (MSM) ataupun dulunya dikenali dengan nama Islamic Representative Council (IRC) bukanlah satu nama yang asing bagi pelajar-pelajar yang sedang atau pernah menjejakkan kaki di bumi United Kingdom (UK) dan Eire.
Pastinya usia 35 tahun tentunya banyak pengalaman ditimba dan banyak sejarah ditempa. Bagaimanapun, mungkin tidak ramai yang mengetahui sejarah awal penubuhan dan perkembangan MSM. Kajian sejarah ini bertujuan untuk menyingkap dan mengupas sedikit sebanyak latar belakang MSM dari peringkat awal penubuhan, perkembangan sehingga kepada perkembangan mutakhir.
Sejarah Awal Kedatangan pelajar Malaysia di UK dan Eire
Kesan daripada peristiwa 13 Mei 1969 dan antara langkah penyelesaian kerajaan terhadap peristiwa tersebut, menjelang digubalnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau New Economic Model (NEP), kerajaan telah menghantar secara beramai-ramai pelajar Bumiputera ke seberang laut. Tempat utama adalah United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran di sana. Pada masa itu pelajar Bumiputera yang dihantar adalah pelajar-pelajar beragama Islam.
Sehubungan itu, para pelajar ini terdedah kepada budaya dan tatacara hidup yang asing bagi mereka. Culture Shock atau kejutan budaya pada masa tersebut merupakan salah satu cabaran besar yang harus mereka hadapi. Ramai yang mula terikut-ikut dengan budaya songsang ini. Budaya-budaya kufar dan jahiliyyah ini dikhuatiri meresap masuk jauh ke dalam pemikiran dan tatacara hidup pelajar Melayu ketika itu.
Sebaliknya, fenomena ini juga turut menyedarkan sebahagian yang mahu kembali kepada ajaran Islam yang asal. Mereka berkesempatan untuk terlibat dalam Islamic Societies di universiti masing-masing. Pelajar-pelajar ini juga terdedah kepada buku-buku terjemahan hasil karya Sayyid Abul Ala Al-Mawdudi dan Sayyid Qutb. Pelajar-pelajar ini Berjaya menubuhkan satu jaringan dan penyusunan tidak rasmi di kalangan mereka untuk bergerak dalam Islamic Societies dan juga FOSIS di United Kingdom.
Di Malaysia pula, para pelajar di institusi pengajian tinggi mula berkecimpung di dalam usaha-usaha dakwah dan lahirnya kesatuan bekas mahasiswa, PKPIM dan seterusnya ABIM. Di sudut politik tanah air, peristiwa 13 Mei juga mencetuskan perihal pentingnya bukan sahaja penstrukturan semula politik negara. Formula politik komunal telah dapat dirundingkan ke arah wujudnya Barisan Nasional di bawah pimpinan Tun Razak.
1970-1975: Pelbagai golongan pelajar
Manakala di UK, para pelajar Islam Malaysia boleh dikategorikan kepada tiga golongan. Pertama ialah mereka yang pada asalnya terdiri daripada pelajar-pelajar lepasan Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) Malaysia atau kini lebih dikenali sebagai Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sewaktu di Malaysia mereka didedahkan kepada Lujnah Kerja Dakwah yang dipimpin oleh seorang da’ie yang mempunyai pendedahan dengan dakwah dan perjuangan Masjumi, Majlis Sjura Muslimin, Indonesia dan pemikiran tokoh agung Islam nusantara, Pak Natsir.
Golongan kedua adalah pelajar-pelajar di serata UK yang terdedah kepada tarbiyyah sahabat-sahabat Arab yang bermastautin di UK akibat daripada pergolakan yang berlaku di Timur Tengah dan mereka ini didedahkan kepada fikrah atau kefahaman Ikhwanul Muslimin.
Golongan yang ketiga pula adalah para pelajar di Brighton, Selatan UK, yang diperkenalkan kepada fikrah (pemikiran) daripada sahabat-sahabat Jama’ati Islami yang berasal dari Pakistan yang bermastautin ataupun menuntut di UK pada ketika itu. Sementara itu, terdapat juga pelajar yang tidak termasuk dalam mana-mana kelompok tadi.
Pertemuan dan Penubuhan
Pada tahun 1972, mereka ini bersetuju untuk bertemu dan duduk semeja bagi membincangkan perihal penubuhan satu badan dakwah di UK. Usaha ini memperlihatkan pertembungan fikrah di kalangan mereka yang didedahkan kepada fikrah Ikhwanul Muslimin dengan mereka yang dididik dengan fikrah Jama’ati Islami. Pertembungan ini dilihat sebagai pertembungan yang sihat yang menyaksikan tertubuhnya satu badan dakwah kemudiannya.
Selepas perhimpunan Musim Sejuk FOSIS pada 1974, satu pertemuan khusus diadakan di kalangan wakil-wakil daripada Brighton, sahabat-sahabat MISG, pelajar-pelajar lepasan ITK dan pelajar-pelajar lainnya di Brighton. Pertemuan ini bertujuan membincangkan lebih lanjut idea asal penubuhan satu badan dakwah yang mula terbit pada tahun 1972 bagi menjadikan ia satu kenyataan.
24 Disember 1974 menjadi titik pertemuan pelajar-pelajar tersebut di satu mesyuarat yang dianjurkan khususnya untuk membincangkan perkara tersebut. Lanjutan daripada mesyuarat ini, pertemuan ketiga dirancang dan diadakan pada cuti Easter universiti pada musim bunga bulan Mac 1975. Daripada pertemuan inilah nama Islamic Representative Council (IRC) ataupun Majlis Syura Muslimun (MSM) dipilih.
Akhirnya pada perhimpunan musim panas FOSIS pada bulan Jun 1975, seramai 6 orang ahli syura telah dilantik bagi membentuk majlis syura tertinggi pertubuhan ini. Majlis syura ini diberi mandat untuk menguruskan pejalanan organisasi dan memilih wakil-wakil pelajar Islam Malaysia dan membentuk badan dakwah yang menumpukan tenaga kepada usaha pengislahan pelajar-pelajar Islam Malaysia di UK.
Pada era 1970an dan 1980an, IRC merupakan antara badan dakwah yang giat menjalankan program-program pentarbiyyahan intensif. Winter dan Summer gatherings mampu mengumpulkan beratus-ratus peserta yang sanggup bersederhana demi menjalani bulan-bulan program. Para murabbi daripada pelbagai latarbelakang mengisi program tarbiyyah sama ada fikrah, rohani mahupun jasmani.
Usaha-usaha dakwah pada era ini berbeza dengan sekarang. Istilah usrah dan daulah merupakan istilah yang janggal di kalangan kebanyakan pelajar. Malah fahaman sosialis turut menular di kalangan pelajar. Siri-siri debat terbuka merupakan agenda yang lazim untuk berhadapan dengan fikrah-fikrah ’Jahiliyyah’ ini. Tidak dinafikan wujudnya konflik sesama kumpulan Islam.
Dakwah yang berkembang pesat ini telah berjaya melahirkan ramai aktivis yang mula kembali ke tanah air dan mula bergerak di dalam medan amal yang baru. Perlu dinyatakan bahawa fenomena kebangkitan pelajar Islam ini tidak hanya berlaku di UK mahupun Malaysia. Pendek kata, di mana ada para pelajar Melayu, maka di situlah seruan dakwah ini dirasai.
Pada tahun 1991, IRC telah memutuskan untuk berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia dengan menggunakan nama Majlis Syura Muslimun atau singkatannya MSM UK dan Ireland. Ini sekaligus mewujudkan kerjasama dengan JPM dan badan-badan yang berpayung di bawah JPM. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini sambutan daripada para pelajar amat menggalakkan.
Pada 27 Disember 2010, MSM UK dan Ireland menukilkan satu lagi catatan baru dalam lipatan sejarah selama 35 tahun penubuhannya. Pada tarikh keramat ini belakunya proses penukaran nama Majlis Syura Muslimun UK dan Ireland kepada Pertubuhan IKRAM UK dan Ireland. Proses transformasi MSM kepada IKRAM ini bakal memberikan satu lonjakan besar kepada misi menyampaikan dakwah dan tarbiyah dengan lebih lancar dan laju.
Penutup
Cabaran dakwah masa kini menuntut semua badan dakwah untuk mewujudkan kerjasama erat. Terlalu banyak ruang-ruang amal yang belum diterokai. Justeru, tidak layak wujud sikap mendabik dada sesama badan-badan dakwah. Apatah lagi, sikap tidak boleh menerima kewujudan pihak lain. Tentunya Islam tidak untung dengan sikap ini.
As-Syahid Hassan al-Banna pernah mengatakan “Impian semalam adalah realiti hari ini, dan impian hari ini adalah realiti hari esok.” Apa yang kita impikan pada hari ini tentulah kembali tertegaknya kalimah Allah di muka bumi ini. Pokoknya, matlamat kita jelas dalam mengejar impian ini segala usaha-usaha kita ditumpukan kea rah tercapainya matlamat ini.
Dakwah ini ada penjaganya iaitu Allah. Sejarah membuktikan pelbagai usaha untuk menyekatnya tetapi ini adalah kesanggupan yang sia-sia sahaja. Seperti mana firman Allah
“Dan mereka ingin memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut-mulut mereka. Tetapi Allah akan menyempurnakan cahayaNya walaupun orang-orang kafir membencinya.” (As-Saff:8)
Wallahu’lam
Nota: sumber - Majalah Furqan 2000
No comments:
Post a Comment